Operasi tebang pokok durian di kebun haram Raub hampir siap

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sudah menebang pokok durian Musang King di kawasan seluas 85 hektar selepas ia ditanam secara haram di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, Pahang.

Pokok yang ditanam membabitkan luas keseluruhan lebih 101 hektar itu ditebang dalam operasi dilakukan sejak lima hari lalu.

Menurut Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP Nor Azirim Ahmad sehingga kini operasi itu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan dan ia dibantu dengan kehadiran lebih ramai kakitangan dari setiap daerah.

Azirim berkata, kerja menebang pokok menerusi Operasi Pamah itu disertai hampir 100 orang kakitangan turut dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menggunakan mesin gergaji berantai.

Katanya, kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada Selasa lalu membantu kelancaran operasi selepas berlaku tindakan provokasi selain jambatan dirosakkan.

“Operasi menebang pokok mula lancar sejak Selasa lalu apabila PGA hadir memberikan bantuan dengan mengawal kawasan hutan ini.

“Mereka turut mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk hutan simpan berkenaan.

“Mengikut jadual asal, operasi ini dijangkakan mengambil masa sebulan untuk disiapkan. Kerja menebang pokok hanya sedikit terjejas disebabkan faktor hujan di sebelah petang serta angin kencang,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Azirim berkata pihaknya menjangkakan kerja itu akan siap sepenuhnya minggu depan sebelum melakukan penanaman pokok hutan di kawasan terbabit.

Katanya, JPNP akan menanam beberapa spesis pokok hutan yang sudah dikenal pasti sebelum ini seperti pokok meranti temak nipis.

Buy in to our bulletin and get news

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *